QS Quacquarelli Symonds (QS), penganalisis pendidikan tinggi global telah menerbitkan edisi ke-10 senarai 10 Bandar Pelajar Terbaik Di Dunia.
Carta ini membolehkan para pelajar membandingkan 140 lokasi pendidikan utama merangkumi 30 penyertaan bandar baharu.
London, England dinobat bandar pelajar terbaik. – Gambar hiasan Unsplash
London (England) mengekalkan statusnya sebagai bandar pelajar terbaik di dunia untuk empat edisi berturut-turut.
Munich (Jerman) berkongsi tempat kedua dengan Seoul (Korea Selatan), juga untuk empat edisi berturut-turut.
Manakala Zurich (Switzerland) pula berada di tempat keempat dan Melbourne (Australia) berada di tempat kelima.
Secara metodologinya, QS menyusun kedudukan bandar yang memiliki populasi 250,000 orang dan mempunyai dua buah universiti yang tersenarai dalam Kedudukan Universiti Dunia.
Lebih 98,000 maklum balas tinjauan daripada bakal dan juga bekas mahasiswa turut menyumbang kepada hasil penemuan carta ini.
Kedudukan London di tempat pertama dibantu oleh kepadatan penduduknya yang tinggi dan kerana mempunyai beberapa universiti bertaraf dunia.
Maklum balas yang sangat positif daripada pelajar yang pernah belajar di bandar tersebut turut menyumbangkan markah tertinggi.
Seoul, Korea Selatan di tempat kedua. – Gambar hiasan Unsplash
Tambahan lagi, peluang kerjaya yang tinggi dan keterbukaan kepada pelajar antarabangsa membuatkan ia dinobat sebagai bandar yang sangat ideal untuk pelajar dari seluruh dunia.
Ben Sowter, Naib Presiden QS berkata, “Maklum balas tinjauan kami mendapati London menawarkan peluang budaya, ekonomi dan pendidikan yang cemerlang.
“Dengan dua daripada sepuluh universiti terbaik di dunia terletak di bandar ini, ia kekal sebagai sebuah hab pendidikan terkemuka dunia.
“Namun, perkara yang membimbangkan kami ialah bandar-bandar yang tersenarai ini secara amnya menjadi kurang mampu milik untuk golongan pelajar,” jelas Sowter.
Sementara itu, Berlin (Jerman) berjaya menduduki tempat keenam, Tokyo (Jepun) berada di tempat ketujuh dan Paris (Perancis) di tempat kelapan.
Sydney (Australia) pula berada di tempat kesembilan dan Edinburgh (Scotland) di tempat kesepuluh buat pertama kali.
Hanya dua negara Asia Tenggara yang tersenarai dengan Singapura dan Kuala Lumpur masing-masing berada di bawah senarai 30 bandar terbaik di dunia untuk pelajar. – Cendolpulut, 7 Julai 2022
Sumber: QS Quacquarelli Symonds
Sumber: www.getaran.my
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri