30 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 28, 2022
spot_img

5 Tip Agar Anak-Anak Anda Tidak ‘Meragam’ Semasa Perjalanan Jauh Ketika Cuti Sekolah!

Pada musim percutian, tentu sahaja anda sekeluarga sudah merancang untuk membawa anak-anak bercuti mengelilingi Malaysia.

Namun, untuk tiba di sesebuah lokasi percutian, ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Ada yang menjangkau selama berjam-jam masa perjalanan untuk sampai ke destinasi pilihan.

Anak-anak anda mungkin akan kebosanan dan ‘meragam’ kerana terpaksa ‘terperangkap’ di dalam kereta dalam tempoh masa yang lama untuk menempuhi satu perjalanan yang agak jauh.

Ragam dan perangai anak-anak anda mungkin berbeza dan tidak boleh diduga. Sayanglah jika belum pun sampai ke destinasi, stres sudah sampai terlebih dahulu!

Ragam dan perangai anak-anak anda mungkin berbeza dan tidak boleh diduga. Sayanglah jika belum pun sampai ke destinasi, stres sudah sampai terlebih dahulu – Gambar Hiasan

Bagi membendung permasalahan itu, Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Azlina Roszy berkata terdapat lima tip bagi memastikan anak-anak kita ‘terkawal’ semasa sesi perjalanan jarak jauh.

“Pertama, persediaan mental. Kita harus memberitahu anak-anak kita terlebih dahulu tentang apa yang bakal berlaku.

“Misalnya, jika kita sudah merancang untuk percutian pada minggu hadapan sempena cuti sekolah, kita beritahu mereka terlebih dahulu.

“Beritahu mereka perjalanan mungkin memakan masa yang lama. Mungkin lebih daripada tiga jam, misalnya. Jadi dia sudah bersedia secara mental,” ujar Dr Azlina.

Dr Azlina turut menegaskan tip kedua iaitu maklumat perjalanan dan keselamatan perlu dititikberatkan oleh semua ibu bapa.

“Kita sediakan serba sedikit maklumat. Misalnya, katakanlah mahu membawa mereka pergi ke kawasan-kawasan tertentu, terangkan kepada mereka tentang aktiviti yang bakal dijalankan.

“Jangan lupa juga perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan. Misalnya, terangkan kepada mereka, musim cuti sekolah mesti ramai pengunjung, jadi mestilah berhati-hati.

“Pastikan anak-anak tidak berada jauh daripada pemerhatian dan jangan membiarkan mereka berjalan seorang diri,” jelasnya.

Dr Azlina turut berpesan supaya ibu bapa juga perlu menyediakan bahan-bahan fizikal sepanjang perjalanan itu, tetapi jangan terlalu bergantung sepenuhnya kepada peranti selaku tip ketiga.

Sediakan serba sedikit maklumat perjalanan dan kongsikanlah bersama anak-anak - Gambar Hiasan

Sediakan serba sedikit maklumat perjalanan dan kongsikanlah bersama anak-anak – Gambar Hiasan

“Saya tahu ramai ibu bapa sekarang suka memberi peranti kepada anak-anak mereka. Namun, ketahuilah jangka hayat bateri peranti itu tidak akan tahan lama.

“Bila tiba masa, ia akan kehabisan tenaga. Kurangkan kebergantungan terhadap peranti ini. Janganlah sampai anak-anak kita ketagih peranti.

“Jadi, sentiasa bersedia. Misalnya, bawa permainan yang mereka suka. Beri buku cerita untuk mereka baca. Jika mereka suka melukis, sediakan buku mewarna,” terangnya.

Pemilik Klinik Psikologi Azlina ini turut menambah walaupun sudah menyediakan bahan-bahan itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting bagi mengelakkan suasana yang membosankan.

“Ibu bapa boleh bertindak lebih kreatif. Misalnya, buat pertandingan bercerita. Tidak perlu tema tertentu atau mahu mengikut tema juga digalakkan. Galakkan mereka bercakap.

“Jangan buli dan ketawakan mereka. Berikan semangat kepada anak-anak kecil yang turut mahu bercerita. Ini salah satu cara mengajar mereka agar mempunyai keyakinan diri,” ujarnya.

Kurangkanlah kebosanan anak-anak di dalam kenderaan dengan menyediakan permainan fizikal atau membuat pertandingan bercerita - Gambar Hiasan

Kurangkanlah kebosanan anak-anak di dalam kenderaan dengan menyediakan permainan fizikal atau membuat pertandingan bercerita – Gambar Hiasan

Untuk tip keempat, Dr Azlina menyarankan agar ibu bapa melakukan kuiz bersama anak-anak mereka sepanjang perjalanan jarak jauh itu tadi.

“Saya selalu melakukannya bersama anak-anak saya semasa kami sekeluarga keluar bercuti. Saya akan lakukan kuiz bersama mereka.

“Lakukannya bersama anak-anak seawal usia tujuh tahun. Suruh mereka meneka nama bangunan atau nama jalan di sepanjang perjalanan.

“Uji minda mereka dengan membaca papan-papan tanda kawasan atau negeri-negeri yang dilalui. Kemudian, beri mereka soalan tentang tempat berkenaan.

Tambahnya, “Namun, sebelum membuat kuiz itu, ibu bapa perlu memberi mereka tempoh masa untuk mentelaah tentang lokasi-lokasi yang bakal dilalui nanti.

Ibu bapa juga boleh membuat kuiz dengan anak-anak tentang destinasi percutian mereka - Gambar Hiasan

Ibu bapa juga boleh membuat kuiz dengan anak-anak tentang destinasi percutian mereka – Gambar Hiasan

“Beri mereka masa untuk membaca segala maklumat tentang negeri-negeri berikut. Kalau boleh bawah peta bergambar rajah. Ajar mereka bagaimana cara membaca peta.

“Ini masa sesuai untuk mengajar mereka tentang negeri-negeri yang terdapat di negara kita. Aktiviti ini dinamakan sebagai experiential learning atau belajar dari pengalaman,” ujarnya.

Yang kelima dan terakhir, inilah masanya untuk ibu bapa ‘bonding’ atau mengikat tali perhubungan silaturahim bersama anak-anak mereka dengan lebih erat.

“Kita bina nilai-nilai murni dengan mengajar mereka bekerjasama. Misalnya, semasa menjawab kuiz, beri peluang untuk si abang atau kakak membantu si adik menjawab soalan atau sebaliknya.

“Sama-sama saling bertukar cerita. Kita sebagai ibu bapa pun boleh berkongsi cerita. Apa-apa sahaja cerita tauladan. Contohnya, cerita dongeng atau kisah para nabi.

“Ia tidak hanya memeriahkan suasana, malah percayalah sesi bercerita bersama anak-anak ini akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” akhiri Dr Azlina. – Cendolpulut, 8 Ogos 2022

Sumber: www.getaran.my

PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

BACA JUGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

- Advertisement -spot_img

Tentang Blog

TRENDING LAGI