Sesuai dengan situasi semasa di mana majoriti rakyat telah divaksinasi, Pelancongan Negeri Pulau Pinang melancarkan kempen ‘Nikmati Pulau Pinang’ sebagai salah satu usaha untuk mempromosi serta menggiatkan industri pelancongan di negeri itu.
Selain itu kempen yang dilancarkan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) Negeri Pulau Pinang, YB Yeoh Soon Hin itu juga berhasrat untuk memperkenalkan lokasi-lokasi yang kurang diterokai oleh pengembara tempatan mahupun antarabangsa sebelum ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) Negeri Pulau Pinang, YB Yeoh Soon Hin
Pulau Pinang bukan sekadar syurga makanan, bahkan ia menjanjikan segalanya!
Video komersial kempen ini mempersembahkan tarikan luar biasa di negeri ini.
Dari dua tapak warisan yang digazetkan oleh UNESCO; iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera yang baru diiktiraf, sehinggalah ke seni jalanan yang unik.
Lebuh Ah Quee di George Town
Ada juga makanan tempatan yang lazat, hutan hujan yang berusia 130 juta tahun dan kepelbagaian landskap semula jadi seperti bukit dan pantai yang menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi paling ikonik di dunia.
Ia membuka mata pengembara untuk mengintai keindahan percutian di negeri ini sama ada di pulau mahupun di Seberang Perai.
Selain itu, risalah bertajuk ‘Other Side of the Island, Teluk Bahang and Balik Pulau’ dan ‘Opposite Side of the Island, Seberang Perai’ turut dilancarkan bersama-sama kempen ini untuk membantu pengembara agar dapat menikmati segala yang ditawarkan oleh negeri yang popular dengan nasi kandar dan asam laksa ini.
Pelbagai lauk nasi kandar
Semua usaha ini juga adalah selaras dengan aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi destinasi pelancongan yang terulung, mampan dari pelbagai segi seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang dan Wawasan Pulau Pinang 2030 untuk mencipta pelbagai produk pelancongan berkualiti di seluruh pulau dan Seberang Perai.
Permatang Pauh
Bagi memastikan kempen ‘Nikmati Pulau Pinang’ ini mencapai sasaran yang ditetapkan, laman web penangtraveldeals.com turut dilancarkan bagi memberi peluang kepada pengembara untuk menikmati pelbagai promosi dan tawaran berpatutan.
Menerusi laman web ini, pengembara atau pengunjung boleh mendapatkan pelbagai tawaran menarik seperti tawaran hotel terbaik, tawaran tarikan terbaik, pakej pelancongan terbaik, tawaran keperluan pelancongan terbaik, produk terbaik Pulau Pinang, tawaran bawa pulang/penghantaran terbaik, serta tawaran perkahwinan terbaik.
Yeoh Soon Hin juga berkata, “Kempen Nikmati Pulau Pinang adalah langkah penting untuk membina semula pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong dalam negeri untuk melawat Pulau Pinang.
“Mujurlah, ramai yang masih berminat untuk melawat Pulau Pinang walaupun pandemik COVID-19 membuatkan rakyat Malaysia lebih berhati-hati untuk mengunjungi tempat-tempat sesak.”
“Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh sebuah platform tempahan pelancongan dalam talian mendedahkan bahawa rakyat Malaysia masih berminat untuk melancong ke negeri-negeri popular dan Pulau Pinang merupakan di antara lima destinasi teratas.
“Ini kerana, selain daripada menawarkan kemeriahan kehidupan kontemporari, Pulau Pinang juga mengekalkan daya tarikan sejarah.
“Walaupun Pulau Pinang sudah terkenal di mata dunia, pihak berwajib perlu terus menambah baik dan mencipta produk pelancongan baharu untuk dilihat dan diterokai agar pengunjung bersedia untuk meluangkan lebih banyak masa di Pulau Pinang.
“Misalnya, daripada menginap dua hari satu malam, mereka boleh tinggal lebih lama jika banyak tarikan menanti seperti Balik Pulau, Teluk Bahang dan Seberang Perai,” ujar Yeoh.
Dari Balik Pulau hingga ke Seberang Perai
Kawasan desa Balik Pulau yang menawan menyediakan pelbagai khazanah untuk pencinta alam, dari pantai terpencil ke rumah kampung tradisional, ladang, perkampungan nelayan, ladang haiwan dan sawah padi.
Anda boleh berbasikal keliling kampung bagi melihatkan sendiri rutin kehidupan masyarakat desa sambil menikmati landskap alam yang mempesona.
Bagi anda yang menghargai alam semula jadi, Teluk Bahang adalah destinasi mesti singgah.
Hutan Teluk Bahang adalah rumah kepada rangkaian tarikan eko pelancongan moden seperti Boulder Valley Glamping, Tropical Spice Garden, Taman Tema ESCAPE dan Entopia by Penang Butterfly Farm.
Taman Negara Penang
Mereka yang ingin menikmati kehidupan di hutan tanpa melepaskan keselesaan kehidupan moden boleh berbuat demikian di Boulder Valley Glamping.
Tarikan ini menawarkan penginapan mewah dengan bilik mandi ‘en-suite’ dan peluang yang tidak ternilai apabila pagi anda diserikan dengan kicauan burung.
Mereka yang dalam misi untuk melawat dua keajaiban buatan manusia yang tersenarai dalam bucket list ‘7 Keajaiban Dunia Pulau Pinang’ boleh singgah ke Taman Tema ESCAPE dan Entopia by Penang Butterfly Farm.
Gelongsor air terpanjang di dunia di Taman Teman ESCAPE menjanjikan ledakan adrenalin selama empat minit. Sementara Entopia by Penang Butterfly Farm merupakan pusat perlindungan rama-rama dan serangga tropika yang pertama di dunia.
Kampung Terang, Balik Pulau
Menjengah ke Seberang Perai, terdapat banyak tarikan tersembunyi seperti Butterworth Art Walk, Pulau Aman, Taman Rimba Bukit Mertajam, Frog Hill dan Kampong Agong.
Sementara itu, pulau terpencil, Pulau Aman menawarkan ketenangan dan pemandangan indah, bot nelayan yang berwarna-warni, tapak bersejarah, pantai yang indah dan tidak ketinggalan pelbagai hidangan makanan laut.
Jika singgah di Taman Rimba Bukit Mertajam, anda boleh menyaksikan pokok Mengkundur gergasi yang dianggarkan berusia lebih 80 tahun.
Mereka yang gemar berkongsi foto di akaun media sosial, mesti singgah di Kampung Agong. Terletak di Bakar Kapur di Penaga, kampung yang mula tular pada 2018 ini menjanjikan pengalaman menyeronokkan dengan pelbagai sudut menarik untuk bergambar.
Kampung Agong
Jadi tunggu apa lagi? Jomlah ke Pulau Pinang.
Ketika bercuti, jangan abaikan keselamatan diri. Ingat virus COVID-19 masih ada di dalam komuniti. Patuhi SOP demi kesejahteraan bersama. – Cendolpulut, 16 Disember 2021
Gambar: Sadiq Asyraf dan Pelancongan Negeri Pulau Pinang
Sumber: www.getaran.my
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri