Di sebalik kemelut melanda rumah tangga, nampaknya rezeki mencurah buat isteri pelakon sensasi Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri apabila ditawarkan menjadi model untuk sebuah jenama fesyen muslimah terkenal.
Menerusi laman Instagram, seorang jurumekap dikenali sebagai Leeya berkongsi satu video menata rias wajah wanita berusia 29 tahun itu ketika menjayakan ‘photoshoot’ atau penggambaran bagi koleksi pakaian jenama tersebut.
“Shuhada Shukri for Bella Ammara. Please remember you are beautiful and powerful, Leeya sentiasa doakan Shu. Shu baru bukak benang jahit semalam so area situ tak boleh letak any product,” tulisnya hari ini.
Difahamkan, dua cahaya mata Shuhada iaitu Humairah dan Umar turut terlibat sama dengan menggayakan pakaian jenama berkenaan dipercayai bagi koleksi raya yang bakal diraikan dalam tempoh dua bulan lagi.
Perkara tersebut dapat dilihat menerusi beberapa rakaman video memaparkan konsep hari raya yang dimuat naik Shuhada di InstaStory miliknya.
Meninjau di ruangan komen, ramai pengikut Leeya memuji kecantikan Shuhada selepas mengenakan solekan selain memberikan kata-kata semangat supaya dia terus kuat menjalani kehidupan bersama dua orang anaknya.
Terdahulu, kisah rumah tangga Hafidz dan Shuhada menjadi bualan hangat selepas pelakon terbabit dikatakan telah melafazkan talak satu terhadap isterinya menerusi panggilan telefon disaksikan oleh ahli keluarga.
Keadaan bertukar semakin kecoh apabila Hafidz didakwa menumbuk wanita tersebut sebanyak tiga kali sehingga terpaksa menerima 10 jahitan pada bahagian wajah.
Sumber: Instagram Nurul Shuhada & Leeya MUA
Sumber: www.malay.news
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.