25 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 28, 2023
spot_img

‘Berpeluk Cium, Tak Tutup Aurat Secara Terbuka Itu Membimbangkan’ – Tak Salah Berbeza Agama, Tapi Perlu Berhikmah.

Tak salah berbeza agama. ‘Berpeluk cium, tak tutup aurat secara terbuka itu membimbangkan’. Itu ulasan Ustazah Asma Harun tentang hubungan cinta Yazmin Aziz dengan jejaka berlainan agama.

Malahan tindakan warganet yang menyokong hubungan mereka membuatkan keadaan ini bertambah pelik kerana perbuatan pasangan ini dianggap seperti sesuatu yang normal. Masyallah!

Tak Salah

“Ya, agama kami berbeza tetapi saya tak faham kenapa ramai yang stres tentang perbezaan tu?”

Baru-baru ini banyak disebutkan tentang isu perbezaan agama antara seorang influencer dan pasangannya yang bukan beragama Islam. Beliau ada kongsikan bahawa bapanya dulu juga seorang non-muslim dan ibunya seorang Muslim.

Namun yang membimbangkan apabila perbuatan mereka yang berpeluk cium, tidak menutup aurat secara terbuka itu sangat tidak menyenangkan kebanyakan mata yang melihat.

Bahkan ada segelintir masyarakat pula yang turut sokong hubungan mereka yang ditampilkan kepada khalayak awam dan secara terang. Ini akan menimbulkan salah faham bahawa perbuatan tidak senonoh tersebut seolah suatu kebiasaan.

Berbeza Agama

Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam

Mudah-mudahan penulisan ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua, insyaAllah.

Saya bawakan beberapa situasi:

1. Hubungan orang Islam dengan sesama Islam.

Ini adalah situasi yang umum telah ketahui bahawa orang Islam boleh berkahwin dengan sesama Muslim, bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda:تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَMaksudnya: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”(HR Abu Daud, hadis sahih)

2. Hubungan orang Islam dengan bukan Islam

Islam merupakan agama yang sangat indah, menuntut kita berkawan dengan semua orang tanpa mengira bangsa dan agama serta menjaga hubungan dengan baik. Namun untuk dijadikan pasangan hidup ada syaratnya iaitu mestilah kedua-duanya beragama islam.

Berpeluk Cium

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 yang bersidang pada 14 Mei 1980 telah membincangkan Pernikahan Dengan Perempuan Kitabiah. Persidangan telah memutuskan bahawa,

Pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah (bukan asli) adalah tidak sah mengikut mazhab Shafie.

Pernikahan seperti itu (pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah bukan asli) yang telah dilakukan pada masa yang lalu harus mengikut pendapat setengah ulama’ dengan syarat jika pernikahan itu diakadkan mengikut Islam dan keluarga itu hendaklah hidup secara Islam termasuk pendidikan anak-anak. Jika tidak dilakukan demikian maka perkahwinan itu hendaklah dibatalkan.

Pernikahan suami/isteri Kristian kemudian si suami masuk Islam maka pernikahannya dikira sah dengan syarat kehidupannya mengikut cara Islam.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:إِذَا أَسْلَمَ العَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلاَمُهُ، يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا، وَكَانَ بَعْدَ ذَلِكَ القِصَاصُ: الحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ، وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللَّهُ عَنْهَا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus darinya semua keburukan yang pernah dia lakukan.

Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sampai 700 kali lipat. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya.”(HR Bukhari, hadis sahih)

Tak Tutup Aurat

Subhanallah, besar ganjaran di sisi Allah apabila kita dapat membantu seseorang memeluk agama Islam. Sebenarnya apabila kita berjaya membawa seseorang kepada Islam, maka segala kebaikan yang dilakukan selepas keIslamannya akan turut diberikan pahala kepada kita.

Maka Rasulullah SAW pernah membimbing kita untuk mencari pasangan yang baik itu melalui empat perkara.

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ: لِمَـالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”(HR Bukhari, hadis sahih)

3. Hubungan orang bukan Islam dengan bukan Islam.

Islam tidak melarang apa-apa hubungan sesama bukan Islam, namun di dalam negara yang majoritinya penganut agama Islam, tetap perlu ada batas dan hormat supaya perkara mungkar tidak dilakukan secara terangan, kerana ia memberi kesan yang buruk kepada orang Islam di negara ini.

Contohnya penganjuran konsert secara besar-besaran, pesta arak, berpakaian yang menjolok mata, zina yang dibuat secara terbuka, dan lain-lain perbuatan yang tidak bermoral.

Harus diingat, kita ada rukun negara yang sering diikrar bersama, antaranya kesopanan dan kesusilaan, di mana mesti dipatuhi oleh semua tanpa pengecualian mana-mana bangsa atau agama.

Secara Terbuka

“Teruskan hubungan kalian, yang penting bahagia dengan pasangan”

Allahu Akbar, sedar atau tidak inilah antara bentuk normalisasi ideologi liberal yang mula meracuni pemikiran orang Islam.

Cara berfikir yang tidak mahu terikat dengan agama ini amat bahaya, apa jua tindakan ingin dihalalkan atas dasar pemikiran yang terbuka walaupun ia sangat jauh daripada syariat Islam.

Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan kita supaya berfikir dengan akal yang sihat, tetapi jangan sampai menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama.

Renungilah sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman. Rasulullah SAW bersabda:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا: يا رَسُولَ اللّٰهِ، آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قالَ: فَمَنْ

Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.”

Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”(HR Muslim, hadis sahih)

*Dhob – biawak padang pasirSebelum ini kita pernah dikejutkan dengan beberapa berita perkahwinan antara seorang wanita muslim dan lelaki non-muslim yang berlangsung di dalam gereja. Allahuakbar.

Bukan maksud saya nak menyebut tentang mana-mana negara, tetapi lebih kepada ingin mengangkat bahawa salah faham dalam agama itu boleh berlaku dan membuatkan kita tergelincir dalam dosa yang berterusan. Astaghfirullah.

Itu Membimbangkan

Semoga perkara begitu tidak terjadi di negara kita. Sebab itu pentingnya kita memahami agama dengan baik agar tidak dikaburi dengan pemikiran bebas yang kononnya memperjuangkan hak manusia, namun hakikatnya merupakan punca barah kepada masyarakat. Na’uzubillah.

Islam itu agama yang melindung, bukan mengongkong.

Tujuan syariat Islam yang sempurna diturunkan untuk memelihara maruah diri dan ummah, bukan untuk menyekat kebebasan.

Bahkan jika kita faham erti kebebasan yang sebenar ialah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT supaya kita bebas memperoleh nikmat di Syurga tanpa batasan kelak. Subhanallah.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِMaksudnya: “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir”.(HR Muslim, hadis sahih)

Begitulah hakikat kita sebagai orang Islam di atas bumi ini, dipenjara oleh hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa menghalang, ditambah lagi dengan tanggungjawab melakukan ketaatan kepada Allah serta larangan yang pelbagai. Namun semua itu pasti baik kerana Allah Maha Mengetahui segalanya.

Semoga kita semua sentiasa dalam taufiq dan hidayah-Nya agar sentiasa dalam melakukan ketaatan dan terhindar daripada kesesatan.

Doa supaya dapat membezakan antara hak dan batilاللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepadaku kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan aku untuk mengikutinya, serta tunjukkanlah kepadaku kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan pula aku untuk menjauhinya.”

Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya ditunjukkan kebenaran, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan.

Semoga bermanfaat buat semua.

Saudaramu,Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

Rujukan:

1. Al-Kafi #484: Perkahwinan Dengan Perempuan Ahli Kitab.

2. Irsyad Al-Fatwa #223: Terlanjur Dengan Wanita Bukan Islam, Apa Perlu Dibuat?

Sumber: www.kashoorga.com

PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

BACA JUGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

- Advertisement -spot_img

Tentang Blog

TRENDING LAGI