Daging masak kurma adalah menu lauk yang popular untuk kenduri. Kurma daging rasanya kurang berempah dan kurang pedas berbanding kari daging atau kerutuk daging, jadi ia memang sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang tak suka masakan pedas.
Berikut kami kongsikan cara memasak daging kurma.
Resepi Daging Masak Kurma
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi daging masak kurma.
- 500gm daging lembu
- 1 paket kecil rempah kurma Adabi
- 1 cawan santan pekat
- 1 cawan air (tambah jika mahu kuah lebih)
- 2 biji ubi kentang
- 1 biji bawang besar
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan Tumis
- 1 inci halia
- 4 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
- 1 sudu besar minyak sapi atau mentega
Persediaan Bahan-bahan
- Potong daging sederhana kecil dan bersihkan. Kemudian tuskan.
- Kupas dan potong dadu ubi kentang.
- Bancuh serbuk rempah kurma dengan sedikit air supaya menjadi pes.
- Kisar bahan tumis: bawang merah, bawang putih, bawang besar dan halia.
- Belah empat bawang besar.
Cara Memasak Kurma Daging
Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan gulai kurma daging.
- Panaskan minyak sapi di dalam periuk dengan api yang sederhana. Tumis bahan-bahan tumis sehingga garing dan naik bau.
- Kemudian masukkan pes kurma, kacau dan tumis sehingga pecah minyak.
- Masukkan daging dan gaul sebati. Kacau seketika sehingga daging kecut dan mesra dengan rempah.
- Tambah air, kuatkan api, kacau dan tudung periuk. Masak sehingga daging empuk dan lembut.
- Masukkan santan, ubi kentang, garam dan gula secukup rasa.
- Kacau rata dan renehkan dengan api kecil selama kira-kira 10 minit sehingga kentang empuk.
- Padamkan api, angkat dan hidangkan.
Cadangan Hidangan
Daging masak kurma sedap dinikmati bersama nasi putih, nasi tomato, nasi beriyani atau nasi minyak.
Sumber: www.anekaresipi.com