30 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 28, 2022
spot_img

Homestay Pilihan Popular Perantau Ketika Pulang Beraya


Inap desa menjadi pilihan popular bagi sebahagian perantau dari kota yang pulang berhari raya di kampung tahun ini selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama sanak-saudara dan insan tersayang kerana pandemik COVID-19.

Permintaannya seperti pisang goreng panas apabila kebanyakan tempahan inap desa oleh perantau telah penuh dan hingga hari ini masih ada yang bertanya mengenai kekosongan sekiranya ada pelanggan yang membatalkan tempahan pada saat-saat akhir.

Rata-rata pengusaha inap desa memaklumkan kepada Bernama tempahan telah mula penuh pada empat hari terakhir Ramadan sehingga minggu pertama hari raya dan kebanyakannya memilih untuk tinggal di inap desa semasa Aidilfitri kerana faktor jumlah keluarga besar dan kediaman yang disediakan selesa seperti di rumah sendiri.

Pentadbir laman Facebook Homestay Kelantan Group Che Adham Mohd Hosni Azam, 40, berkata 95 peratus daripada 200 ahli atau pengusaha inap desa daripada kumpulan itu menerima tempahan perantau yang ingin memilih perkhidmatan itu sepanjang cuti Aidilfitri nanti.   

Pengusaha inap desa di Pasir Mas itu berkata beliau telah menerima tempahan bermula 28 April hingga 8 Mei daripada dua keluarga dari Selangor dan tempahan itu dibuat sejak penghujung tahun lepas.

Gambar HiasanGambar Hiasan

“Kebanyakan yang mahu menginap di sini memberitahu mereka sudah lama tidak pulang beraya dan adik-beradik lain yang berkeluarga berpakat mahu pulang berkumpul bersama. Jadi, ada sebahagian terpaksa memilih inap desa untuk keselesaan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Che Adham yang telah mengusahakan inap desa sejak 2012 berkata trend terkini pemilihan inap desa antaranya pengguna mahukan inap desa yang mempunyai kemudahan kolam mandi, penyaman udara dan lokasi yang strategik.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati membuat tempahan inap desa yang ditawarkan dalam media sosial kerana aktiviti ‘scammer’ atau penipuan bergiat aktif sehingga ramai yang tertipu dengan pakej yang ditawarkan.

Berkongsi pandangan sama, pengusaha inap desa dari Jitra, Kedah Wahida Omar, 34, berkata hingga hari ini beliau dan pengusaha inap desa lain masih menerima panggilan telefon dan mesej daripada pelanggan yang bertanyakan kekosongan inap desa pada cuti perayaan Aidilfitri.

“Walaupun ada pelanggan yang memohon tempahan lebih awal iaitu tiga atau empat hari sebelum raya dan menginap untuk tempoh yang lama, saya terpaksa menolaknya kerana sudah ada pelanggan lain yang membuat tempahan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, pesara kerajaan Mahzam Mohd Saad, 59, berkata beliau memilih inap desa yang berdekatan dengan kampungnya di Peringat, Kota Bharu, Kelantan berikutan rumah kampung ibu bapanya dipenuhi adik-beradik lain yang turut pulang beraya.

“Saya sendiri mempunyai anak yang ramai, ada yang sudah berkahwin dan ada bayi…faktor keselesaan dan privasi menjadi pilihan memilih inap desa. Walaupun menginap di inap desa, nikmat berhari raya itu tetap dapat dirasai,” katanya. – Bernama


Sumber: www.getaran.my

PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

BACA JUGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

- Advertisement -spot_img

Tentang Blog

TRENDING LAGI