Desaru Coast Destination Resort (Desaru Coast) melantik Desaru Link Ferry untuk perkhidmatan feri yang menghubungkan Terminal Feri Tanah Merah dengan Terminal Feri Desaru Coast.
Terminal yang berada di Johor Tenggara ini kini sedia untuk beroperasi dan akan menghubungkan penumpang dari Singapura, Kepulauan Riau, Batam dan Bintan di Indonesia.
Syarikat induknya, Batam Fast Ferry akan menjadualkan dua perjalanan pergi dan balik dari Singapura pada hari Khamis hingga Ahad.
Jadual perkhidmatan feri untuk satu perjalanan pergi dan balik pula dijadualkan pada hari Isnin hingga Rabu berdasarkan permintaan pasaran.
Laluan feri baharu ini boleh menampung kapasiti antara 150 sehingga 338 penumpang. Kekerapan perjalanan pula bakal meningkat apabila industri pelancongan kembali pulih kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One, Roslina Arbak berkata, “Pelantikan pengendali feri ini ialah langkah kesinambungan antarabangsa yang penting untuk Desaru Coast.
“Paling penting, pintu masuk antarabangsa seperti ini akan membawa pelbagai faedah ekonomi dan sosial kepada masyarakat setempat di wilayah Johor Tenggara.
“Kami gembira bekerjasama dengan Batam Fast Ferry kerana pengalaman perkhidmatan mereka yang boleh dipercayai, pakar dalam bidang feri serta piawaian keselamatan yang tinggi,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Batam Fast Ferry, Paul R. Gannaway pula berkata, “Kami berbesar hari untuk menyertakan Johor Tenggara dalam pelan pengembangan kami.
“Kami yakin dengan potensi dan pertumbuhan Desaru Coast yang bakal menjadi tarikan pelancongan terkemuka di rantau ini pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Dengan pengalaman lebih 40 tahun, Batam Fast Ferry merupakan salah satu pengendali feri terbesar dan paling lama bertapak di rantau ini.
Ia mengendali 25 buah feri merentasi 80 jadual perjalanan dan pelepasan di enam terminal feri utama di Singapura dan Indonesia.
Desaru Coast pula mempunyai rangkaian hotel dan resort yang terkenal di Johor seperti Hard Rock Hotel Desaru Coast, The Westin Desaru Coast dan Anantara Desaru Coast Resort & Villas.
Destinasi ini juga mempunyai salah satu taman air terbesar di Malaysia, Desaru Coast Conference Centre dan The Els Golf Club Desaru Coast. – Cendolpulut, 31 Mac 2022
Gambar: Desaru Coast { https://desarucoast.com/ }
Sumber: www.getaran.my
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri