26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, March 29, 2023
spot_img

‘Little Beijing’ Di Machap Jadi Tumpuan Pengunjung Bergambar


Dihiasi pelbagai lampu neon dan lebih 3,000 tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Kampung Baru Machap Umboo dan Kampung Machap Baru diibaratkan seperti ‘Little Beijing’ sekali gus mendapat perhatian pengunjung merakam gambar sebagai kenangan.

Tinjauan Bernama di Kampung Baru Machap Umboo di sini malam tadi mendapati selain kepelbagaian bentuk lampu hiasan dan tanglung merah berbentuk sfera, terdapat juga hiasan tanglung segi empat tepat yang dipasang bersama lampu berwarna-warni di Jalan Lampu Langit sepanjang lebih 100 meter serta tanglung gergasi lebih lima meter berhampiran Dewan Besar Kampung Permai Machap Umboo. 

Di Kampung Machap Baru pula, laluan di dalam kawasan penempatan itu dihiasi dengan tanglung selain terdapat ‘Meihua Walk’ yang menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar. 

Pengunjung melalui Jalan Lampu Langit di Kampung Baru Machap Umboo yang dihiasai pelbagai lampu dan tanglung berwarna-warni.Pengunjung melalui Jalan Lampu Langit di Kampung Baru Machap Umboo yang dihiasai pelbagai lampu dan tanglung berwarna-warni.

Madeline Chua Lin Mei, 23, yang datang bersama empat lagi ahli keluarganya dari Bukit Katil ketika ditemui di Kampung Baru Machap Umboo berkata, beliau mengetahui tentang ‘Little Beijing’ itu menerusi perkongsian pengguna media sosial yang merakam gambar kenangan di kampung tersebut. 

“Saya teruja untuk datang dan melihat sendiri keindahan lampu serta tanglung di sini serta tidak mahu lepaskan peluang mengambil gambar. Sudah dua tahun sambutan Tahun Baharu Cina agak suram namun tahun ini kembali meriah,” kata pekerja swasta itu.

Nuradila Alias, 36, dari Cheng pula berkata, suasana di kampung tersebut mengembalikan kenangan beliau ketika melancong di Beijing, China lima tahun lepas dan beliau serta tiga lagi rakannya tidak melepaskan peluang untuk bergambar di Jalan Lampu Langit dan tanglung gergasi. 

“Suka sangat lihat lampu yang cantik dan tanglung berwarna-warni. Walaupun tidak meraikan Tahun Baharu Cina, sekurang-kurangnya dapat ambil gambar yang cantik di sini,” kata pekerja sektor perhotelan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, pemasangan pelbagai lampu hiasan dan lebih 3,000 tanglung di dua kampung berkenaan melibatkan peruntukan lebih RM100,000 dan ia bertujuan memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan.

Ngwe Hee Sem (kiri) bersama pengunjung di Meihua Walk di Kampung Machap Baru yang dihiasai dengan pelbagai lampu sempena sambutan Tahun Baru Cina.Ngwe Hee Sem (kiri) bersama pengunjung di Meihua Walk di Kampung Machap Baru yang dihiasai dengan pelbagai lampu sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau yang juga Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, kerja-kerja menghias dan mencantikkan kampung berkenaan dilakukan secara gotong-rotong oleh penduduk dua kampung berkenaan lebih seminggu lepas.

“Sudah dua tahun suasana sambutan Tahun Baharu Cina di kedua-dua kampung tersebut tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini ekoran pelbagai prosedur operasi standard (SOP) disebabkan penularan COVID-19 yang agak membimbangkan. 

“Namun, tahun ini kita dapat lihat Kampung Baru Machap Umboo dan Kampung Machap Baru telah berubah wajah seperti Little Beijing dan kedua-dua kampung tersebut menerima sumbangan dana daripada pelbagai pihak untuk melakukan kerja-kerja menghias termasuk daripada wakil rakyat serta penduduk kampung,” katanya.

Ngwe berkata ‘Little Beijing’ itu berpotensi menjadi antara ikon pelancongan Melaka dan beliau dimaklumkan tempahan inap desa di kedua-dua kampung berkenaan menjelang Tahun Baharu Cina telah penuh. – Bernama

Gambar: Rashidah Abd Rahim, Bernama


Sumber: www.getaran.my

PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

BACA JUGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

- Advertisement -spot_img

Tentang Blog

TRENDING LAGI