26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, March 20, 2023
spot_img

Meluncur Laju Di Tarikan Rekod Dunia ‘Escape Penang’


Sempena cuti sekolah bermula hujung minggu ini, bolehlah membawa anak-anak ke Taman Tema Escape yang terletak di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Taman tema yang boleh dinikmati seisi keluarga ini menjanjikan satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan begitu sahaja. 

Selepas menerima pengiktirafan daripada Guinness World Records (GWR) untuk gelongor air terpanjang di dunia, kini taman tema itu kembali mencipta rekod baharu apabila melancarkan ‘zip coaster’ terpanjang di dunia baru-baru ini.

Escape penang Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

‘Zip coaster’ yang melibatkan perjalanan sejauh 1.1 kilometer itu dilancarkan dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang,Tun Datuk Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Sim Leisure, Sim Choo Kheng, yang memiliki dan mengendalikan taman tema jenama Escape, wakil Guinness World Records serta rakan penaja yang lain.   

Pengiktirafkan yang diraih kali ini menjadikan ESCAPE Penang satu-satunya taman tema di negara ini yang mempunyai dua Guinness World Record (GWR) dan pencapaian ini sudah pasti membanggakan rakyat Malaysia kerana  ia sekaligus meletakkan Malaysia menonjol di peta pelancongan dunia.

Escape penang zip coaster

Jadi, apa yang boleh anda harapkan daripada ‘zip coaster’ ini? Sedia untuk terbang bagaikan tarzan. Nikmati ledakan adrenalin yang mengalir laju sebaik sahaja anda bersedia untuk berlepas. Sesuai dengan pengiktifan yang diterima, ‘sesi penerbangan’ mengambil masa kira-kira enam minit untuk ditamatkan. 

Sepanjang tempoh ini anda akan dibawa merentasi rimbunan pokok yang menghijau dengan trek yang mendebarkan. Ia bukanlah laluan lurus yang bersahaja, tetapi laluan berliku bagi menyuntik elemen dramatik dan keseronokkan tidak terhingga.  

Jangan risau tentang pembinaan trek ‘zip coaster’ ini. Hutan yang menghijau tidak ‘cedera’ kerana Escape Penang telah pun menegaskan bahawa langkah-langkah terbaik telah diambil bagi memelihara persekitaran semula jadi.

Escape penang The Longest

Bagaimana pula dengan gelongsor air yang turut memecah rekod dunia? Pasti ada di antara anda yang belum pernah mencuba. Ingat! kedua-dua tarikan ini wajib anda cuba kerana ia cukup berbaloi. Boleh jerit sepuas hati, campak segala emosi yang terbuku di hati dan pulang dengan keriangan sepuas hati. 

Seperti yang pernah kami kongsikan sebelum ini, gelongsor dengan kepanjangan 1.11 kilometer ini mengheret masa kira-kira empat minit untuk meluncur ke bawah. Debaran bermula dan kegusaran pasti terasa. Maklumlah perjalanan ke titik permulaan sudah diwarnai dengan elemen mendebarkan. 

Pengunjung perlu menaiki ‘lift ski’ untuk dibawa ke puncak bukit. Bagi yang fobia dengan ketinggian, pengalaman ini sudah pasti membuatkan jantung berdegup laju.

Sebaliknya, bagi mereka yang tidak kisah dengan ketinggian, laluan ini membolehlah anda menikmati kehijauan alam serta bunyian unggas yang mendamaikan. Pendek kata, perjalanan ke puncak bukit itu benar-benar unik, tidak boleh dialami di mana-mana taman tema lain di negara ini.

Tak perlu takut, tak perlu bimbang, keselamatan anda di sini adalah terjamin selagi anda mematuhi peraturan yang ditetapkan. Satu fakta mesti tahu ialah, tiada bayaran tambahan dikenakan untuk menaiki kedua-dua tarikan hebat ini. Ini kerana pengunjung hanya perlu membuat bayaran ‘All-In-One’ untuk menikmati lebih daripada 30 tarikan di Escape Penang. – Cendolpulut, 3 Jun 2022

Untuk maklumat lanjut, layari www.escape.my 

Gambar: Escape Penang


Sumber: www.getaran.my

PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

BACA JUGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

- Advertisement -spot_img

Tentang Blog

TRENDING LAGI