Pelbagai tarikan dan aktiviti baharu melibatkan kos kira-kira RM5 juta diwujudkan di Zoo Melaka di sini, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan tersebut.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata antara tarikan terbaharu itu ialah Zoo dan Taman Burung yang menempatkan 70 ekor burung nuri daripada spesies Sun Conure dan Lory, serta sepasang burung cenderawasih dengan setiap seekor bernilai puluhan ribu ringgit.
“Aviari burung ini juga menempatkan lapan ekor walabi yang serupa dengan kanggaru tetapi bersaiz lebih kecil dan berasal dari Australia.
“Pengunjung hanya dikenakan tiket RM6 seorang untuk masuk ke aviari burung ini dan mereka berpeluang memberi makan dan minum burung yang ada,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Selain itu, katanya sebuah kafe baharu turut dibuka berhadapan taman burung itu bagi memberi lebih banyak pilihan makanan kepada pengunjung menjamu selera di dalam zoo.
Menurutnya lebih istimewa apabila sebuah gua akan dibina di dalam Zoo Melaka untuk menempatkan 20 ekor burung daripada enam spesies burung toco taocan dari Amerika Selatan, dan dijangka siap akhir tahun ini.
Shadan berkata semua tarikan tersebut adalah hasil usahasama antara sebuah syarikat swasta dengan MPHTJ bagi memberi tarikan baharu kepada pengunjung yang datang ke Zoo Melaka.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih 300,000 orang mengunjungi destinasi pelancongan dan pusat konservasi haiwan itu bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
“Sepanjang sembilan hari Syawal ini sahaja, hampir 30,000 orang berkunjung ke Zoo Melaka dan kita dapat lihat peningkatan pengunjung dari semasa ke semasa terutama dengan pengenalan produk atau tarikan baharu seperti Zoo dan Taman Burung,” katanya.
Menurut Shadan harga tiket masuk ke Zoo Melaka iaitu RM38 bagi dewasa, kanak-kanak (RM31) dan warga emas (RM31) adalah berpatutan dengan tarikan, fasiliti dan haiwan yang ada di zoo tersebut.
“Kita tidak boleh membuat perbandingan apa yang ada di Zoo Melaka dengan zoo di negeri lain kerana banyak aktiviti yang telah kami wujudkan untuk pengunjung dan harga yang ditetapkan adalah berpatutan,” katanya. – Bernama
Sumber: www.getaran.my
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri