25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 23, 2023
spot_img

Rahsia Dan Keindahan Alam Semula Jadi Tasik Kenyir


Setelah hampir setahun penangguhan program pelancongan tahun melawat Tasik Kenyir 2021 akibat COVID-19, kini lokasi tersebut telah dibuka semula untuk dijadikan salah satu destinasi percutian. 

Tasik Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu merupakan sebuah kawasan tasik buatan yang mempunyai keluasan sehingga 38,000 hektar. 

Kawasan yang ditutupi air tasik ini, popular dengan kisah-kisah mitos termasuk kisah sebuah perkampungan yang tenggelam di tasik tersebut yang kononnya sudah wujud sejak beribu tahun. 

Tambahan lagi, selepas tragedi kepala air yang melanda kawasan Tasik Kenyir pada awal Mac 2022, kerja-kerja baik pulih telah dijalankan dan kawasan ini kini cantik, bersih dan stabil.

Kenyirtasik

 Memiliki seribu satu rahsia dan keindahan alam semula jadi, segmen jelajah kali ini berkongsi tinjauan terkini penulis tentang suasana beberapa kawasan pelancongan di Tasik Kenyir, Terengganu.

kenyirku2

Sebagai mukadimah, sebuah acara yang dipanggil Kenyir Bird Nature Quest telah dilancarkan pada 26 Mac di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir. 

Ia adalah simbolik kepada kawasan tersebut yang menjadi tempat pengumpulan 296 spesies burung liar serta kawasan semulajadi untuk diterokai. 

Buat penggemar atau pengkaji burung liar, anda disarankan untuk hadir dan menyertai salah satu aktiviti yang dipanggil Birdwatching. 

Kenyir 3

Taklimat akan diberikan oleh pakar tentang kegiatan memerhati beberapa kehidupan liar di situ dan antara yang menjadi perhatian pengunjung ialah burung enggang. 

Ini kerana Tasik Kenyir merupakan salah satu kawasan habitat kepada sembilan jenis spesies burung enggang dan ia hidup liar di beberapa tempat. 

Jika bertuah, anda berpeluang untuk melihat sendiri burung tersebut berbunyi, terbang atau bertenggek di atas pokok.

Kenyir 4

Nasib menyebelahi penulis ketika dalam perjalanan pulang, tika seekor burung enggang spesies Great Hornbill dapat dilihat melalui teropong yang disediakan. Burung tersebut berterbangan di ruang udara dan dimaklumkan sedang menuju untuk pulang ke sarangnya. 

Kenyir 5

Dalam masa yang sama, dengan menggunakan teropong khas terlihat juga seekor ungka (sejenis spesies haiwan keluarga monyet) sedang berehat di dahan pokok.

Kenyir 6

Pada keesokan harinya penulis dibawa menuju ke sebuah pulau yang menjadi satu-satunya kawasan bukit batu kapur yang dipercayai sudah wujud sejak 250 juta tahun. 

Perjalanan tersebut perlu dilalui dengan menaiki bot yang disediakan di jeti Pengkalan Gawi.

Sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang 45 minit itu, kelihatan kawasan persekitaran bukit-bukau dan beberapa pulau yang indah. 

Terdapat juga laluan di antara dua bukit, di mana kawasan kiri dan kanan bot kelihatan seakan-akan sebuah pintu gerbang. 

Pada yang sama, ada papan tanda arah dan jarak seperti di atas jalan raya yang kelihatan di atas permukaan air tetapi bezanya di Tasik Kenyir, ia adalah panduan untuk laluan bot.

Kenyirku7

Sejurus hampir tiba di kawasan tersebut, beberapa gua dapat dilihat, antaranya Gua Kepala Kambing dan Gua Taat. 

Objektif utama aktiviti di kawasan bukit batu kapur ialah untuk mendedahkan kepada pengunjung kewujudan pokok melunak yang terbesar di semenanjung Malaysia. 

Namun sebelum itu, anda perlu masuk laluan trek hutan yang tidak terlalu sukar sejauh 700 meter. 

Semasa dalam perjalanan, kelihatan tapak kaki tapir dan kesan geseran lumpur badan gajah di tepian batu kapur. Ini menandakan keberadaan hidupan liar masih ada di kawasan tersebut. 

Kenyir 8

Sesudah tiba di lokasi, kelihatan gah berdiri, sebuah pokok melunak yang mempunyai ketinggian sehingga 100 kaki. 

Bentuknya yang seakan-akan banir buah belimbing, ia mempunyai diameter yang luas, malah jika ingin dijelaskan secara kasar seramai 22 orang dewasa boleh memeluk pokok tersebut dalam satu masa. 

Bersangkutan dengan hal ini, pokok melunak itu dipercayai sudah berusia 340 tahun dan dipetakan semula pada 2013.

Kenyir 9

Penulis kemudian dibawa ke gua yang popular dikalangan orang ramai dan menjadi salah satu tanda sejarah negara iaitu Gua Bewah. 

Kami dipimpin ahli arkeologi Mohd Khairul bin Abu Bakar yang merupakan salah seorang ahli arkeologi yang menemui rangka “Bewah Man”. 

Beliau yang terlibat secara langsung dalam penemuan rangka yang sudah berusia 16,000 tahun ini masih meneruskan penerokaannya di dalam gua tersebut.

Kenyir 10

Menurutnya masih banyak lagi kesan dan barang peninggalan zaman purba yang ada di dalamnya. 

Walau bagaimanapun, tulang yang ditunjukkan tika itu merupakan tulang replika “Bewah Man” dan rangka aslinya kini berada di muzium Terengganu. 

Namun, lokasi yang dipamerkan adalah lokasi sebenar tempat tulang itu dijumpai.

Kenyir 11

Selain pameran beberapa artifak, serpihan tengkorak sebenar manusia zaman purba juga terdapat di sebuah bilik kecil yang berada di pintu gua. 

Malah saudara Khairul juga sempat berkongsi sebuah cerita menarik. Menurutnya, semasa dia dan pasukannya sedang membuat kerja-kerja penerokaan, mereka telah menjumpai seekor ketam dan ular di dalam gua tersebut. 

Persoalan misteri yang dilontarkan olehnya ialah, “sudah berapa lama ketam dan ular tersebut hidup di dalam gua ini dan mengapa seekor sahaja yang ditemui?”. 

Kenyir 12

Penulis ketika itu terpinga-pinga dengan soalan tersebut. 

Ini kerana di dalam gua tersebut hanya terdapat habitat kelawar yang sangat banyak dan beberapa serangga seperti labah-labah. 

Selain daripada dikelilingi batu kapur, di sebuah sudut terdapat peninggalan corak dinding asli yang seakan-akan seseorang yang sedang duduk di antara dua sujud ketika menunaikan solat. 

Kenyir 13

Semasa berada di Terengganu penulis diberi peluang menginap di Terrapuri, yang terletak kawasan kampung Penarik. 

Dengan membawa maksud tanah istana, ia berkonsepkan rumah-rumah asli tradisional Terengganu yang dibeli dan dibina semula untuk dijadikan kawasan penginapan lengkap dengan peralatan moden. 

Namun terdapat beberapa sudut atau bahagian rumah yang masih dikekalkan persis rumah asalnya seperti bahagian tangga dan dinding kayu rumah bagi memperlihatkan keaslian rumah tradisi Terengganu. 

Ia juga dihiasi dengan barangan klasik seperti pasu-pasu, peralatan wayang kulit dan banyak lagi. 

Kenyir 14

Menurut Alex Lee Yun Ping, pemilik penginapan tersebut, beliau membina kawasan ini kerana ingin menghidupkan warisan tradisional agar tidak ditelan zaman. 

Ini merupakan salah satu senibina rumah tradisional yang boleh dilihat dan dirasai sendiri oleh generasi yang akan datang tika menginap.

Kenyir15

Bagi penulis rumah-rumah ini merupakan sebuah khazanah yang perlu diuar-uarkan kepada semua orang terutamanya kepada individu yang ingin merasai suasana menginap di kampung. 

Untuk maklumat lanjut anda boleh rujuk melalui laman Facebook rasmi Terrapuri.

Jelajah Tasik Kenyir ini adalah ihsan pihak Gaya Travel. – Cendolpulut, 7 April 2022


Sumber: www.getaran.my

PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

BACA JUGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

- Advertisement -spot_img

Tentang Blog

TRENDING LAGI