Menjelang Tahun Baharu Cina, ratusan tanglung telah dipasang di seluruh pusat bandar Labuan dan kawasan sekitarnya sejak minggu lepas.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata, hiasan itu digantung di sepanjang Jalan Merdeka, Jalan Tun Mustapha dan kawasan sekitar menuju ke bandar yang membawa suasana Tahun Baharu Cina sepanjang musim perayaan.
“Tanglung merah digantung untuk mewujudkan suasana Gong Xi Fa Cai dan perayaan Tahun Baharu Cina. Kami mahu suasana perayaan dapat dirasai oleh orang ramai. Kami telah memulakan projek ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bagaimanapun sambutan tahun ini mungkin tidak semeriah sebelum pandemik (COVID-19) kerana orang ramai masih mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan jangkitan,” katanya kepada Bernama semalam.
Tanglung merah yang menghiasi bandar Labuan.
Beliau berkata kerajaan telah mengumumkan bahawa tiada acara rumah terbuka dibenarkan tahun ini, sekali gus hiasan itu boleh menjadi antara tarikan utama semasa sambutan itu.
Minggu lepas, Kementerian Perpaduan Negara mengumumkan bahawa kunjungan dari rumah ke rumah dan acara makan keluarga akan dibenarkan untuk sambutan Tahun Baharu Cina.
“Walaupun pandemik menjejaskan keceriaan Tahun Baharu Cina tahun lepas, semangat perayaan agak tinggi tahun ini. Dengan langkah berjaga-jaga, gerai dan pasar raya di bandar ini dihiasai perhiasan warna merah,” kata Rithuan.
Pemilik kedai, Chung Lee Hwa, 54, ketika ditemui berkata perniagaan masih perlahan kerana kekurangan barangan dari luar dan mahal untuk mengimportnya.
“Orang ramai kurang berbelanja kali ini, tetapi kami gembira melihat orang datang membeli,” katanya. – Bernama
Gambar: Muqtadir Halim, Bernama
Sumber: www.getaran.my
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri