Terkenal sebagai lokasi acara ski gaya bebas Big Air Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, Taman Shougang di Beijing kini dibuka semula kepada pengunjung dan menjadi destinasi popular dalam kalangan masyarakat.
Penulis yang turut berkesempatan mengunjungi destinasi popular itu, mendapati rata-rata pengunjung teruja untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan Big Air, iaitu tempat menyaksikan empat pingat emas berjaya dihasilkan dalam temasya sukan itu.
Kebiasaannya, sebaik temasya Olimpik melabuhkan tirainya, kemudahan Big Air di negara penganjur akan ditutup bagi kegunaan lain.
Namun, buat pertama kalinya, fasiliti Big Air di Taman Shougang yang mempunyai ketinggian sehingga 60 meter, terus dikekalkan kewujudannya.
Walaupun temasya sukan itu telah berakhir, namun keghairahan penduduk tempatan terhadap aktiviti ais dan salji tidak berkurangan.
Penulis turut berpeluang bertemu beberapa pengunjung, ramai antara mereka menganggap taman itu dapat mencetuskan inspirasi selain menyuntik keberanian dan kedinamikan dalam hidup seharian.
Dibina pada 1919, Taman Shougang yang merupakan bekas kilang besi keluli, turut menjadi simbol kepada proses pembangunan perindustrian di China.
Menjelang Olimpik Beijing 2008, atas faktor kapasiti ekosistem Beijing yang terhad dan keperluan untuk membangun, Shougang dipindahkan ke provinsi Hebei.
Ruang untuk pengeluaran keluli diubah suai menjadi pejabat jawatankuasa penganjur Olimpik Musim Sejuk Beijing; loji kuasa stim diubah menjadi stadium; bengkel arang batu ditukar menjadi pusat latihan sukan musim sejuk kebangsaan; terdapat juga sebahagian ruang yang ditransformasi sebagai taman budaya dan inovasi.
Pada 2021, Taman Shougang juga mengalu-alukan tetamu seluruh dunia melalui Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS).
Selepas Olimpik Musim Sejuk 2022, taman budaya dan inovasi tersebut semakin terkenal dengan menggabungkan elemen perhotelan, restoran, kedai buku dan tempat hiburan bergaya perindustrian yang sungguh istimewa.
Bermula sebagai kilang keluli lama kini ia menjadi destinasi pelancongan menarik serta popular, sekali gus memperlihatkan transformasi Taman Shougang melakar kejayaan dalam aspek pembangunan hijau dan lestari. – Bernama
Sumber: www.getaran.my
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri