26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 21, 2023
spot_img

Tasik Cermin Akan Dimajukan Sebagai Taman Eko Kuari Pertama Malaysia


Tasik Cermin di Gunung Rapat, Ipoh yang popular dalam kalangan pelancong sedang dimajukan sebagai taman eko kuari yang pertama di Malaysia sekali gus menjadi produk pelancongan terbaharu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke bandar raya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata Majlis Bandaraya Ipoh telah melantik Syarikat Tasik Cermin Tourism Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan seluas lebih 26 hektar itu sebagai Tasik Cermin Eco Park Ipoh.

“Tasik Cermin merupakan kawasan kuari lama dan tidak lagi beroperasi namun mempunyai dua tasik dan dua terowong yang unik hingga menarik minat ramai pelancong.

“Hari ini merupakan hari ke-42 pembangunan Tasik Cermin Eco Park Ipoh yang berkonsepkan rendah karbon dan menggunakan bahan mesra alam kerana ia merupakan satu daripada 19 geotapak yang terletak di dalam Geopark Lembah Kinta.

“Dengan adanya kerjasama awam dan swasta dalam membangunkan kawasan geotapak seperti ini, secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri memelihara dan mempromosi Geopark Lembah Kinta sebagai satu daripada geopark kebangsaan yang utama di negara ini,” katanya pada sidang media prapelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya pelbagai pembangunan pelancongan berasaskan eko telah dirancang yang dibahagikan kepada beberapa fasa termasuk jeti bot, kios makanan dan minuman, kafe, tapak glamping, Skybridge Glass Walkway dan Tasik Cermin Monorail.

Beliau berkata pelbagai pakej ekopelancongan akan turut disediakan selain kemudahan seperti surau, tandas, tempat meletak kenderaan, kawasan pejalan kaki dan kemudahan mesra alam termasuk kereta kuda, bugi, beca dan basikal.

Nolee Ashilin berkata pembangunan Tasik Cermin akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan pada masa sama pihak pemaju sedang melatih masyarakat Orang Asli sebagai sumber tenaga kerja memandangkan alam semula jadi berkait rapat dengan mereka.

“Kita juga bekerjasama dengan jabatan lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mendapatkan nasihat kepakaran supaya pembangunan dijalankan mengikut prosedur operasi standard demi menjaga keselamatan,” katanya. – Bernama


Sumber: www.getaran.my

PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

BACA JUGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

- Advertisement -spot_img

Tentang Blog

TRENDING LAGI