Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan bantuan wang segera RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang maut dalam insiden tanah runtuh yang berlaku di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Hulu Selangor.
Selain itu, Anwar juga berkata, kerajaan turut memberikan RM1,000 kepada setiap mangsa yang mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.
“Pemberian bantuan ini akan diselaraskan oleh kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),”ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali akan diteruskan esok. Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian, malam ini.
Sehingga kini, seramai 21 mangsa menyertai perkhemahan di Father’s Organic Farm disahkan meninggal dunia dan 12 orang belum ditemui. Ini menjadikan keseluruhan mangsa adalah seramai 94 orang.
Dan, hasil siasatan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Galian, kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada kaki cerun lemah akibat aliran air di bawah tanah.
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi juga memaklumkan bahan homogen muka bumi disifatkan gagal bertahan dan turut runtuh.
Sumber: Facebook Harian Metro, Sinar Harian (Nilam Nur Atikah Oshman)
Sumber: www.malay.news
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.