Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan.
“Kita nasihatkan kepada semua orang Islam supaya tidak sertai program ini. Ada banyak lagi program lain yang boleh disertai
“Kita kena sayang agama kita. Bukan sahaja program seperti ini, malah program apa apa sahaja yang membabitkan soal agama dan akidah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) di Rancangan Tanah Belia 1, Sungai Panjang, di sini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penganjuran festival tahunan Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka.
Poster promosi penganjuran festival itu juga memaparkan imej anime wanita berhijab yang memakai kimono dan ia mendapat reaksi negatif di media sosial terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Sumber: rileklah.com
PERHATIAN: Kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui platform ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.